TAPAH 3 Nov. – “Saya pernah terdengar dua kali jeritan dan tangisan seolah-olah meminta tolong di sekitar bengkel, tetapi saya fikir mungkin anak pemilik bengkel itu yang menjerit.”
Demikian dakwaan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zah ketika ditanya mengenai kes pembunuhan empat individu yang terbongkar selepas penahanan seorang lelaki bersama tiga ahli keluarganya di rumah mereka yang terletak di dalam kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini.
Menurut wanita berusia 50-an itu, dia beranggapan demikian kerana salah seorang daripada anak lelaki tersebut merupakan orang kurang upaya (OKU).
Dakwanya, dia juga pernah terhidu bau hanyir dan busuk seolah-olah bau bangkai apabila berada berdekatan sungai yang terletak berhampiran tempat suspek dipercayai melakukan pembunuhan itu.
“Kira-kira dua bulan lalu pada pukul 8 malam, saya ada lihat asap tebal dari arah rumah suspek. Saya fikir mungkin dia membakar tayar atau wayar seperti selalu tetapi kali ini berbeza kerana asapnya sangat hitam seperti orang membakar mayat.
“Saya tidak terfikir apa-apa cuma pelik sebab selain berwarna hitam pekat, bau asap itu sangat teruk dan busuk seperti bau darah dan daging terbakar,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak berhampiran rumah suspek berkenaan.
Wanita itu memberitahu, walaupun lelaki itu telah lama tinggal di kawasan tersebut, namun mereka sekeluarga tidak pernah bergaul dengan penduduk setempat.
“Mereka memang jenis sombong dan tidak menegur orang. Anak lelaki saya juga pernah dimarahi apabila mahu mendekati sungai itu dan kami juga dilarang keras mengambil buluh di belakang rumahnya,” katanya.
Sementara itu, anak perempuan Zah yang berusia 25 tahun berkata, dia tidak menyangka tindakan suspek memagar kawasan rumahnya menggunakan kepingan zink rupa-rupanya bertujuan mengaburi pandangan penduduk sekitar.
Katanya, lelaki itu juga sejak beberapa bulan kebelakangan ini sering dilihat seolah-olah memantau keadaan rumahnya dari arah seberang sungai.
“Dia sering datang dan kelihatan seperti sedang meninjau keadaan rumahnya dari arah sini (seberang sungai). Kadang-kadang dia naik ke atas (bukit) dan melihat dari sudut atas.
“Walaupun pelik, kami tidak berani bertanya dan hanya melihat sahaja tindak-tanduknya. Lagipun, mereka sekeluarga jenis tidak bercampur orang, jadi kami memang tidak berani untuk bertegur sapa dengan mereka,” dakwanya.
KLIK UNTUK BACA SELANJUTNYA
No comments:
Post a Comment