Begitulah pesanan terakhir pelawak Allahyarham Yussry Edoo yang lebih dikenali sebagai Yus Jambu kepada rakan sekumpulannya dalam program realiti, Juara Parodi iaitu penyanyi terkenal, Misha Omar, Jumaat lalu.
Misha yang masih terkejut dengan berita pemergian arwah memberitahu BH Online, pesanan berbaur nasihat itu menjadi kata-kata yang tidak akan dilupakan penyanyi Bunga Bunga Cinta itu sampai bila-bila.
Menurut Misha, sepanjang hampir sebulan bersama Yus dalam program Juara Parodi, arwah sangat menyenangkan dan tidak lokek.
"Saya tidak menyangka rupa-rupanya keakraban kami pada sesi latihan tempoh hari akan menjadi kenangan terakhir saya dengan arwah.
"Sebelum ini, ketika sesi latihan, kami lebih banyak buat hal sendiri. Tetapi entah kenapa, Jumaat lalu, saya banyak meluangkan masa dengannya.
"Banyak yang kami bualkan terutama sekali mengenai hal kehidupan. Dalam perbualan itu, Yus sempat menasihatkan saya supaya menjaga kesihatan dan tidak menjadi sepertinya.
"Arwah bukan saja mengambil berat kepada saya, malah krew dan juga teman rapatnya yang lain," katanya.
Misha berkata, arwah sering membawa alat menguji kandungan gula dalam darah dan menasihatkan rakan-rakan melakukan ujian sama.
"Jadi setiap kali hendak menguji darahnya, arwah akan suruh rakan-rakan yang lain menguji darah mereka.
"Walhal kertas ujian gula itu bukannya murah, tetapi arwah tidak lokek demi menjaga kesihatan rakan-rakannya," kata Misha.
Tambah Misha lagi, kehilangan mengejut Yus menyebabkan beliau tidak mampu berfikir mengenai perjalanan kumpulan Kobis Pedas yang turut disertai Tauke dalam program realiti itu.
Misha berkata, bagaikan ada kebetulan apabila tugasan yang menanti kumpulannya Jumaat ini adalah sketsa menggunakan sebuah bingkai gambar dengan tajuk 'Aku Suka Benda Ini Kerana Ia Mengingatkan Aku Kenangan Pada Kau'.
Tugasan itu, menurut Misha, seolah-olah kena dengan situasi sekarang.
"Saya tidak tahu bagaimana kami akan membuat persembahan Jumaat ini lebih-lebih lagi dengan tugasan yang diberi.
"Nampaknya saya sudah tahu gambar siapa yang perlu diletakkan pada bingkai yang diberikan kepada kami tempoh hari," katanya.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment